LONDON: Fernando Torres menegaskan dia bukannya seorang pembelot selepas penyerang Chelsea berharga £50 juta (RM245 juta) itu dituduh mengkhianati Liverpool.
Torres dijangka membuat kemunculan sulung penuh emosi buat Chelsea menentang bekas kelabnya malam ini hanya seminggu selepas melengkapkan perpindahan kontroversi yang mencetus rekod British dari Liverpool.
Pengurus Reds, Kenny Dalglish mengakui beliau kecewa dengan masa perpindahan Torres, yang diputuskan hanya beberapa jam sebelum jendela perpindahan ditutup.
Torres tidak berada di kemuncak prestasinya sepanjang musim ini dan meminta untuk ditukarkan selepas dia mengetahui minat Chelsea terhadapnya, menyebabkan beberapa penyokong dan bekas pemain mendakwa penyerang Sepanyol itu sudah merajuk berbulan-bulan lamanya.
Namun Torres tidak berganjak dengan pendiriannya yang penuh berdedikasi kepada Liverpool dan membidas sesiapa yang mengkritik caranya meninggalkan Anfield.
“Saya fikir ia tidak adil. Tidak masuk akal. Saya bermain tiga musim yang amat bagus di sana dan menjaringkan banyak gol,” kata Torres.
“Saya faham ia situasi yang sukar, terutama ketika jendela perpindahan, tapi saya perlu memikirkan mengenai karier saya.
“Setiap orang akan melihatnya sebagai satu langkah ke depan. Saya tahu perancangan Chelsea bagi masa depan, cita-cita yang mereka miliki dan apa yang mereka mahu raih.
“Mereka mahu membentuk sebuah pasukan hebat dan terus bersaing dengan Man Utd dan Man City untuk menjadi kelab terbaik di England dan bersaing merebut Liga Juara-Juara Eropah.
“Apabila saya berusia 45 tahun saya akan merenung kembali dan berkata saya benar-benar bertuah memiliki gambar saya sebagai juara.
“Saya menjelaskan perasaan dan jujur dengan setiap orang. Semuanya telus, perkara penting adalah bersikap jujur dan adil.
“Jelasnya mereka tidak mahu saya meninggalkan kelab itu, mereka cuba memujuk saya untuk kekal tapi saya memberitahu mereka saya sudah membuat keputusan.
“Saya tidak tahu bagaimana reaksi peminat tapi ia pasti mengejutkan jika saya menerima sambutan buruk.” Sepanjang tiga setengah tahun di Liverpool, Torres jelas mengabdikan diri terhadap Reds malah dia pernah mendakwa dia tidak akan bermain buat mana-mana kelab Inggeris lain.
“Saya tidak pernah mencium lencana Liverpool,” kata Torres. “Apabila saya dilahirkan di Madrid saya bukannya peminat Liverpool atau Chelsea. Saya seorang penyokong Atletico Madrid, mungkin itu satu-satunya lencana yang saya akan cium.
“Orang bercakap mengenai Liverpool memenangi kejuaraan atau kembali ke kelompok empat teratas tapi apa yang saya boleh lihat dari awal musim lagi bahawa kami akan bergelut.
“Apabila anda berpeluang untuk bermain dengan pasukan yang berpeluang memenangi Liga Juara-Juara dan Liga Perdana dan bersaing dengan yang terbaik, maka anda pasti mengambil peluang itu.” Sama ada Torres akan bermula pada perlawanan menentang Liverpool malam ini selepas hanya tiga hari berlatih dengan pasukan masih belum diketahui. - AFP
Saturday, February 5, 2011
‘Saya tak khianat’
Posted by LutfiAmin™ at 5:52 PM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)




Kuala Lumpur Time
0 comments:
Post a Comment